Rabu, 2009 Oktober 14

MEREKALAH PEWARIS SENI KEBUDAYAAN BANGSA



SMK Taman Seraya (SMKTS)merupakan sebuah sekolah biasa. Sekolah yang tidak dikenali, tetapi tetp jua dikenali dalam kalangan masyarakat sekitarnya. Sungguhpun, sekolah ini merupakan sekolah yang biasa, namun guru-gurunya memiliki daya usaha dan semangat yang luar biasa. Sepanjang berada di sekolah ini, tidak pernah hati ini terasa kesunyian dan sepi. Selalunya terhibur dek keletah anak-anak didik yang ingin mengenal dunia, dek keramahan yang dipamerkan oleh sahabat-sahabat sejawat.

Dek kerana biasanya sekolah ini, dan dek kerana semangat yang luar biasa serta usaha yang berterusan, akhirnya pada 1 MEI 2009, pasukan dikir barat telah mula ditubuhkan. Seingat saya, selama terbinanya SMK Taman Seraya di bumi Ampang ini, pasukan dikir barat belum pernah diwujudkan disini. Namun, sungguhpun begitu, sebenarnya ia sudah dipelopori oleh rakan-rakan pendidik di sini sebelum saya melangkah disini, namun tidak secara langsung. Persembahan dikir barat hanya ada "gitu-gitu jelah".Kelab kebudayaan sekolah lebih menyerlah dengan persembahan tarian yang dipelopori oleh dua orang guru kelab Kebudayaan iaitu Puan Shaifatul Adilin dan Puan Suhaila. Merekalah yang banyak bersusah payah menerajui persembahan demi persembahan yang berkisarkan tarian tradisional. Sehingga kini kumpulan tarian tersebut terus melahirkan pelapisnya di peringkat sekolah. Oleh kerana terlalu mengharapkan persembahan demi persembahan dari kumpulan tarian tersebut, maka muncullah pengharapan untuk melahirkan pasukan dikir barat di sekolah secara rasminya.

Akhirnya, jurulatih profesional diambil dan diturunkan ke sekolah bagi melahirkan insan SMKTS yang berdaya saing dan seimbang dari segi kerohaniannya, berbudayakan warisan bangsanya direalisasikan dengan seriusnya. ArjunaSukma atau nama sebenarnya Encik Mohd Sabri yang juga merupakan pengasas kepada akademi tersebut menyahut seruan kami untuk melatih pendikir-pendikir dari kalangan pelajar-pelajar SMKTS. Setelah sebulan dilatih secara serius dan diaplikasikan dengan penuh komitmen, maka lahirlah generasi pertama seni kebudayaan dikir barat di sekolah ini. Sebagai mengetengahkan lagi bakat yang telah digilap, persembahan di majlis graduasi pada 24 OKTOBER 2009 nanti menjadi medan pemulaan kepada kejayaan yang lebih gemilang buat pasukan dikir barat sekolah SMKTS.

Untuk itu, ayuh pendikir-pendikir Barat SMKTS bangun,kita teruskan kemuncak kesenian kebudayaan yang didatangkan khas dari alam Melayu ini. Kita bersedia untuk ke peringkat atau pertandingan yang dianjurkan oleh setiap badan-badan NGO mahupun kerajaan. Kerancakan seni dikir barat melambangkan bahawa rancaknya, hebatnya dan kerntalnya semangat jiwa-jiwa untuk berjaya dengan lebih gemilang sambil menjunjung bersama kegemilangan warisan budaya Melayu.